Mengimbas kembali salah satu daripada peristiwa besar dalam islam iaitu peristiwa isra’ dan mikraj Rasulullah SAW, sesungguhnya di sebalik peristiwa tersebut ada episod yang terlalu susah dan payah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW sebelum menerima jemputan istimewa daripada Allah SWT iaitu pengorbanan baginda dalam menyebarkan agama islam.
Sepertimana yang kita maklum dan yakini bahawa baginda Rasulullah SAW adalah salah seorang Rasul yang ulul azmi yang mewah dengan kesabaran, yang rimbun dengan ketabahan, yang pasrah pada himpitan hidup masyarakat jahiliyah demi agama islam yang tercinta.
Islam adalah agama yang syumul, yang sempurna, merangkumi semua aspek dan sudut sama ada kehidupan dunia mahupun akhirat. Perlu ditekankan bahawa agama islam terpancar disepenjuru dunia hasil daripada titisan pengorbanan yang besar dan halangan ranjau yang terlalu perit untuk ditempuh dan dihadapi.
Junjungan besar Nabi Muhammad SAW adalah insan yang terlalu banyak menghadiahkan pengorbanan masa, pengorbanan usia, pengorbanan harta malah mengorbankan perasaan demi meninggikan syiar agama islam, agama yang hanya diredhai Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT didalam surah ali-Imran :19 yang bermaksud:
“ Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah adalah agama Islam”.
Tatkala Abu Jahal menerima tamparan hebat hasil daripada penerimaan masyarakat Makkah terhadap dakwah yang dibawa oleh seseorang yang terkenal dengan kejujuran dan keikhlasannya, maka dengan kemarahan yang bersangatan bergegas dia bertemu dengan Rasulullah SAW untuk memujuk dan merayu agar beliau menghentikan dakwah tersebut namun jawapn yang diterimanya adalah sungguh mengecewakan, walaupun imbuhan dan pampasan yang ditawarkan kepada Rasulullah. Walaupun bayaran dan sogokkan yang dijanjikan kepada Rasulullah adalah hampir seluruh kekayaan di Tanah Arab pada ketika itu namun ungkapan dan jawapan yang diterimanya dari Baginda Rasulullah tetap sama, dan sama sekali tidak akan berubah,
Walaupun dibebankan matahari di telapak kanan dan disandarkan bulan di telapak kiri membujur lalu melintang patah, agama islam tetap ditegakkan.
Baginda Rasulullah SAW korbankan nafsu insani demi kegemilngan agama islam. Baginda Rasulullah belakangkan tuntutan kejam nafsu dunia demi agama Islam. Baginda Rasulullah menoleh jauh dari menjamah harta dan kenikamatan dunia demi meletakkan agama islam di atas puncak persada yang paling tinggi dan suci. Bukan untuk bermegah-megah. Bukan dengan aroma riya’ walau sebesar zatpun, tetapi dengan heningan keikhlasan......Lillahi Ta’ala.
Pengorbanan nafsu bukannya perkara yang mudah untuk kita laksanakan apatah lagi keseronokan dan keunikan duniawi yang terhidang di hadapan mata kita terlalu menghairahkan, terlalu kuat mencekam nafsu dan tanpa iman yang benar-benar kukuh dan keyakinan terhadap Allah yang benar-benar ampuh, kita tidak akan mampu untuk melakukan sepertimana yang Baginda Rasulullah SAW lakukan. Semakin lama dakwah Nabi Muhammad SAW lakukan, maka semakin lama semakin hebat dan dahsyat penentangan kaumnya dan semakin berlimpah pengorbanan yang perlu dilakukan sehingga pada suatu ketika semasa baginda dalam sujudnya menghadap Allah SWT, belakang Baginda disimbah dengan najis unta malah Baginda Rasulullah diludah oleh Uqbah atas arahan Ubai Bin Khalaf kerana mereka semakin takut Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW akan menghancur leburkan kebohongan berhala Osiris, berhala Isis, berhala al-Latta dan Uzza tuhan kaku mereka. Malah peristiwa di Thaif amat menyakiti Baginda bukan hanya luka pada kakinya tetapi ajakannya ditolak, dakwahnya tidak diterima akhirnya menghalau Baginda Rasulullah seperti pengemis yang hina. Pengorbanan ini bukan sahaja menjadi ikutan para sahabat malah pancaran pengorbanan inilah yang menebar sinaran keseluruh pelusuk dunia yang sebelumnya diselubungi oleh kepekatan, oleh kekejaman, oleh kekufuran dan kejahilan manusia.
Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW diutus oleh Allah SWT bukan sekadar untuk menghimpunkan manusia di sekitar keharuman namanya tetapi adalah untuk menyambung hubungan manusia dengan kebenaran yang sekian lama terkubur oleh keangkuhan dan kejahilan
Marilah kita bersama-sama menjejaki apa yang telah digariskan oleh baginda junjungan dalam misi melaksanakan dakwah islamiah demi untuk mencari kecemerlangan agama islam yang lampau. Ingatlah bahawa pengorbanan yang kita lakukan hari ini sama ada pengorbanan masa, pengorbanan harta dan usia akan kita temui ganjarannya di akhirat kelak. Perpecahan umat islam hari ini adalah disebabkan umat islam tidak berani untuk melakukan pengorbanan demi agama kerana tuntutan duniawi lebih bersinar, lebih menghairahkan didepan mata, kerana sikap tamak dan nafsu haloba telah menutup lapan lapis keimanan kita.
Marilah kita bersama-sama menjadikan sirah nabi sebagai wadah panduan untuk kita memantapkan lagi gerak dakwah kita demi agama islam yang tercinta, agama islam yang diredhai oleh Allah SWT. Semoga hasil dari pengorbanan yang kita lakukan akan meletakkan martabat agama islam di aras yang paling mulia di dunia ini.
0 comments:
Post a Comment