INGIN MENGIRIM ARTIKEL? TAK TAHU NAK LUAH DEKAT MANA? Pihak Belia Usia Bahagian Sandakan berbesar hati jika anda dapat mengirim artikel anda mengenai program-program yang berlangsung di kawasan anda terutama di daerah sandakan (kampung sim-sim, karamunting, kampung air, batu putih, tinosa, merpati, bandar indah, sri taman, kampung gum-gum dan banyak lagi) dan di seluruh malaysia amnya. Kirimkan program-program yang berlangsung di kampung anda. ke e-mail :

beliausiasdk@gmail.com
dan pihak belia usia sandakan akan menyemak dan menyunting artikel anda bagi langkah-langkah keselamatan sebelum di paparkan.


PAPARAN MENARIK MENGGUNAKAN IE V8+ / MOZILLA FIREFOX





Pihak belia usia bahagian sandakan amat berbesar hati jika anda dapat join dalam group facebook belia usia.

ini untuk memudahkan lagi perhubungan ahli dalam memartabatkan syariah dalam DUNIA IT ini.

Search dalan enjin pencarian facebook : belia usia bahagian sandakan


terima kasih.

Tuesday, November 17, 2009

Nilai Pengoraban

Mengimbas kembali salah satu daripada peristiwa besar dalam islam iaitu peristiwa isra’ dan mikraj Rasulullah SAW, sesungguhnya di sebalik peristiwa tersebut ada episod yang terlalu susah dan payah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW sebelum menerima jemputan istimewa daripada Allah SWT iaitu pengorbanan baginda dalam menyebarkan agama islam.

Sepertimana yang kita maklum dan yakini bahawa baginda Rasulullah SAW adalah salah seorang Rasul yang ulul azmi yang mewah dengan kesabaran, yang rimbun dengan ketabahan, yang pasrah pada himpitan hidup masyarakat jahiliyah demi agama islam yang tercinta.

Islam adalah agama yang syumul, yang sempurna, merangkumi semua aspek dan sudut sama ada kehidupan dunia mahupun akhirat. Perlu ditekankan bahawa agama islam terpancar disepenjuru dunia hasil daripada titisan pengorbanan yang besar dan halangan ranjau yang terlalu perit untuk ditempuh dan dihadapi.

Junjungan besar Nabi Muhammad SAW adalah insan yang terlalu banyak menghadiahkan pengorbanan masa, pengorbanan usia, pengorbanan harta malah mengorbankan perasaan demi meninggikan syiar agama islam, agama yang hanya diredhai Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT didalam surah ali-Imran :19 yang bermaksud:

“ Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah adalah agama Islam”.

Tatkala Abu Jahal menerima tamparan hebat hasil daripada penerimaan masyarakat Makkah terhadap dakwah yang dibawa oleh seseorang yang terkenal dengan kejujuran dan keikhlasannya, maka dengan kemarahan yang bersangatan bergegas dia bertemu dengan Rasulullah SAW untuk memujuk dan merayu agar beliau menghentikan dakwah tersebut namun jawapn yang diterimanya adalah sungguh mengecewakan, walaupun imbuhan dan pampasan yang ditawarkan kepada Rasulullah. Walaupun bayaran dan sogokkan yang dijanjikan kepada Rasulullah adalah hampir seluruh kekayaan di Tanah Arab pada ketika itu namun ungkapan dan jawapan yang diterimanya dari Baginda Rasulullah tetap sama, dan sama sekali tidak akan berubah,

Walaupun dibebankan matahari di telapak kanan dan disandarkan bulan di telapak kiri membujur lalu melintang patah, agama islam tetap ditegakkan.

Baginda Rasulullah SAW korbankan nafsu insani demi kegemilngan agama islam. Baginda Rasulullah belakangkan tuntutan kejam nafsu dunia demi agama Islam. Baginda Rasulullah menoleh jauh dari menjamah harta dan kenikamatan dunia demi meletakkan agama islam di atas puncak persada yang paling tinggi dan suci. Bukan untuk bermegah-megah. Bukan dengan aroma riya’ walau sebesar zatpun, tetapi dengan heningan keikhlasan......Lillahi Ta’ala.

Pengorbanan nafsu bukannya perkara yang mudah untuk kita laksanakan apatah lagi keseronokan dan keunikan duniawi yang terhidang di hadapan mata kita terlalu menghairahkan, terlalu kuat mencekam nafsu dan tanpa iman yang benar-benar kukuh dan keyakinan terhadap Allah yang benar-benar ampuh, kita tidak akan mampu untuk melakukan sepertimana yang Baginda Rasulullah SAW lakukan. Semakin lama dakwah Nabi Muhammad SAW lakukan, maka semakin lama semakin hebat dan dahsyat penentangan kaumnya dan semakin berlimpah pengorbanan yang perlu dilakukan sehingga pada suatu ketika semasa baginda dalam sujudnya menghadap Allah SWT, belakang Baginda disimbah dengan najis unta malah Baginda Rasulullah diludah oleh Uqbah atas arahan Ubai Bin Khalaf kerana mereka semakin takut Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW akan menghancur leburkan kebohongan berhala Osiris, berhala Isis, berhala al-Latta dan Uzza tuhan kaku mereka. Malah peristiwa di Thaif amat menyakiti Baginda bukan hanya luka pada kakinya tetapi ajakannya ditolak, dakwahnya tidak diterima akhirnya menghalau Baginda Rasulullah seperti pengemis yang hina. Pengorbanan ini bukan sahaja menjadi ikutan para sahabat malah pancaran pengorbanan inilah yang menebar sinaran keseluruh pelusuk dunia yang sebelumnya diselubungi oleh kepekatan, oleh kekejaman, oleh kekufuran dan kejahilan manusia.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW diutus oleh Allah SWT bukan sekadar untuk menghimpunkan manusia di sekitar keharuman namanya tetapi adalah untuk menyambung hubungan manusia dengan kebenaran yang sekian lama terkubur oleh keangkuhan dan kejahilan

Marilah kita bersama-sama menjejaki apa yang telah digariskan oleh baginda junjungan dalam misi melaksanakan dakwah islamiah demi untuk mencari kecemerlangan agama islam yang lampau. Ingatlah bahawa pengorbanan yang kita lakukan hari ini sama ada pengorbanan masa, pengorbanan harta dan usia akan kita temui ganjarannya di akhirat kelak. Perpecahan umat islam hari ini adalah disebabkan umat islam tidak berani untuk melakukan pengorbanan demi agama kerana tuntutan duniawi lebih bersinar, lebih menghairahkan didepan mata, kerana sikap tamak dan nafsu haloba telah menutup lapan lapis keimanan kita.

Marilah kita bersama-sama menjadikan sirah nabi sebagai wadah panduan untuk kita memantapkan lagi gerak dakwah kita demi agama islam yang tercinta, agama islam yang diredhai oleh Allah SWT. Semoga hasil dari pengorbanan yang kita lakukan akan meletakkan martabat agama islam di aras yang paling mulia di dunia ini.

Read More......

Sunday, November 15, 2009

Jom tonton 2012

Apa yang anda tahu tentang 2012?

Filem terbaru arahan Ronald Emmerich telah mencetuskan kontrovesi yang mengatakan kiamat akan berlaku pada tahun tersebut. Dan filem itu sedang mendapat tempat di malaysia sekarang. Malah hangat di iklankan..

"Never before has a date in history been so significant to so many cultures, so many religions, scientists, and governments. A global cataclysm brings an end to the world and tells of the heroic struggle of the survivors"
(synopsis/terjemah sendiri dalam bahasa melayu)
Mempercayai Hari Kiamat merupakan salah satu rukun Iman yang wajib diyakini di dalam Islam. Dan ia merupakan perkara sam'iyat yang tidak dapat dilihat tetapi perlu diyakini. Hari kiamat itu pasti sebagaimana pastinya mati itu. Pada masa kini, kita merasakan bahawa dunia ini sahajalah alam yang nyata, sedangkan hakikatnya dunia ini hanyalah sebahagian dari alam yang benar-benar nyata. Menurut sebuah hadis, "Perbandingan kehidupan dunia dengan akhirat adalah bagaikan setitik air terhadap seluruh samudera."


Pada pandangan saya ada beberapa perlu kita fikirkan:

1)orang barat semakin hebat pengkajian mereka tentang Islam akhirnya dapat menghasilkan sebuah filem yang mana mereka faham dari Islam dan Alquran itu sendiri. TETAPI orang Islam itu sendiri?semakin hebat dengan ajaran sesatnya dan jenayah yang berleluasa..malah masih lagi tidak tahu membaca al quran.

2)Orang barat menerbitkan filem memperihalkan tentang hari kiamat. Ada baiknya menyedarkan kita dan menakutkan kita dengan kedatangan hari kiamat. walaupun hanya gambaran dan sebenarnya lagi dasyat. TETAPI orang islam kita sibuk dengan cerita TAHYUL/MISTIK/PROGRAM REALITI yang membawa kita hanyut dan terus hanyut..



Ini bukanlah filem pertama yang diterbitkan berkaitan yaumul qiyamah ini..Filem Armageddon, Independence Day, The Day After Tommorow, Deep Impact telah mencerminkan segalanya.

Apa yang saya bimbangkan tentang akidah kita kepada Allah..adakah manusia itu bisa mengetahui bila datangnya hari kiamat?Semua itu adalah kekuasaan Allah yang Mutlak.Di dalam Islam, isu kiamat itu memang pasti, tetapi isu BILA itu yang tidak kita ketahui. Maka manusia yang sentiasa ingin tahu dan tidak puas dengan face value pasti akan membuat ramalan demi ramalan.

Seharusnya, bukanlah isu ramalan-ramalan di atas yang perlu ditekankan. Apa yang lebih penting adalah kesediaan kita andaikata ramalan-ramalan itu berubah menjadi kenyataan. Apakah persediaan kita? Kalau hendak dikaji satu persatu, pasti kita tidak mampu, kecuali dengan izin Allah jua. Kita begitu bersemangat bercerita tentang kemungkinan-kemungkinan tahun 2012, sedang kita lupa pada hari ini. Hari ini akan tinggal dalam sejarah, tapi sejarah ini akan tetap dihitung, bukannya masa depan kita sahaja. Maka hendaklah kita sentiasa melengkapkan diri dengan segala keperluan-keperluan diri.

kalau anggota tentera yang hendak berperang membawa senapang, pistol, kereta kebal dan sebagainya, apa yang mungkin kita bawa menuju ke hari akhirat? Nak bawa pistol dan senapang juga?oh, katakan semua ini tidak benar?


JANGAN kita menjadi seperti manusia yang Allah kisahkan di dalam Al Quran:
Wahai orang yang beriman janganlah kekayaan dan anak anakmu mengalihkan perhatianmu dari mengingat Allah, agar engkau tidak menjadi orang yang merugi. Dan nafkahkan sebagian dari hata yang kamiberikan kepadamu sebelum datangnya kematian, sehingga engkau tidak berkata " Ya Tuhan, berikan kami tanguh beberapa saat. Niscaya aku akan bersedekah dan berbuat baik". Tapi tidak pada satu jiwapun Allah memberi tangguh ketika saatnya sudah tiba. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang engkau perbuat. (al Munafiqun 63: 9-11)

Jadi ketika kematian tiba, tidak akan ada lagi kesempatan kedua ataupun tambahan waktu. Kalau kita ingin berbuat baik, lakukanlah sebelum kematian itu tiba. Tak ada yang diberi tangguh, tak ada perkecualian.
Ketika kematian itu tiba pada salah seorang dari mereka, ia akan berkata. "Ya Tuhanku kembalikanlah aku, kembalikanlah aku, niscaya aku akan berbuat kebaikan yang selama ini aku lupakan." Tidak, tidak mungkin lagi. .... (Mu'minun 23:99-100)


1. hari Yang menggemparkan, 2. apa Dia hari Yang menggemparkan itu? 3. dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari Yang menggemparkan itu? 4. (hari itu ialah: hari kiamat), hari manusia menjadi seperti kelkatu Yang terbang berkeliaran 5. dan gunung-ganang menjadi seperti bulu Yang dibusar berterbangan 6. setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang Yang berat timbangan amal baiknya 7. maka ia berada Dalam kehidupan Yang senang lenang 8. sebaliknya orang Yang ringan timbangan amal baiknya 9. maka tempat kembalinya ialah "Haawiyah" 10. dan apa jalannya Engkau dapat Mengetahui, apa Dia "Haawiyah" itu?11. (Haawiyah itu ialah): api Yang panas membakar. (Al Qaari'ah:1-11)

Adakah kita sudah berada di ambang akhir zaman? Atau adakah mungkin kita sendiri adalah di akhir zaman itu sendiri? Wallahu'alam.

sumber: anwarateh

Read More......

Friday, November 13, 2009

Kepentingan Ilmu Pengetahuan

Di dalam al-Quran al-Karim terdapat banyak sekali ayat-ayat yang menunjukkan kepada keutamaannya ilmu pengetahuan itu. Di antaranya ialah:

Allah telah menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia jua, begitu pula para Malaikat dan para ahli ilmu pengetahuan turut menyaksikan sama, iaitu Tuhan yang berdiri di atas keadilan.” (ali-Imran: 18)

Perhatikanlah pada ayat yang tersebut di atas itu, bagaimana Allah s.w.t. telah memulakan penyaksian itu dengan diriNya sendiri, keduanya dengan para Malaikat dan sesudah itu dengan para ahli ilmu pengetahuan. Itu saja sudah cukup untuk membuktikan, betapa tingginya keutamaan ilmu pengetahuan dan kelebihannya.

Allah berfirman pula:

“Allah telah mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu, dan begitu pula orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (al-Mujadalah: 11)

“Katakanlah: Tiada serupa orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tiada berilmu pengetahuan.” (az-Zumar: 9)

“Hanyasanya orang yang takut kepada Allah dari golongan hamba-hambaNya itu, ialah orang-orang yang berilmu pengetahuan.” (Fatir: 28)

“Andaikata mereka mengembalikannya (berita itu) kepada Rasul dan kepada orang-orang yang memegang urusan pemerintahan diantara mereka, tentulah halnya telah dimengerti oleh orang-orang yang menelitinya dalam golongan mereka itu”. (an-Nisa’: 83).

Jadi hukum mengenai perkara-perkara yang berlaku itu harus dikembalikan kepada kebijaksanaan orang-orang yang berilmu pengetahuan, kerana martabat mereka ditingkatkan dengan martabat para Nabi dalam menyingkap hukum-hukum Allah s.w.t.

Adapun Hadis-hadis yang berkenaan dengan keutamaan ilmu pengetahuan ada banyak juga, seperti:

Siapa yang dikehendaki baik oleh Allah s.w.t., maka Allah akan meluaskan pengetahuannya dalam hukum-hukum agama dan akan diilhamkanNya petunjuk di dalamnya

“Para ulama itu adalah warisan para Nabi”.

Tentulah tiada martabat yang lebih tinggi dari martabat kenabian, dan tiada kemuliaan yang lebih utama dari kemuliaan mewarisi martabat itu.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila datang kepadaku satu hari, sedang pada hari itu aku tiada bertambah ilmu pengetahuan untuk mendekatkan diriku kepada Allah azzawajalia, maka tiada akan diberkati bagiku terbitnya matahari hari itu.”

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam menentukan kelebihan ilmu pengetahuan atas segala rupa ibadat dan penyaksian, katanya:

“Keutamaan seorang yang berilmu pengetahuan ke atas seorang yang banyak ibadatnya, laksana keutamaanku ke atas serendah-rendah orang dari golongan sahabatku.”

Cubalah perhatikan, betapa itmu pengetahuan itu dipersamakan seiring dengan darjat kenabian, dan betapa pula direndahkan martabat sesuatu amalan yang sunyi dari ilmu pengetahuan, sekalipun orang yang beribadat itu cukup mengetahui dengan ibadat yang ia lakukan itu sehari-harian, kerana kiranya ibadat itu ditunaikan tanpa ilmu pengetahuan, tentulah ianya tidak boleh dinamakan ibadat.

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

“Kelebihan seorang alim atas seorang abid, laksana kelebihan bulan purnama ke atas seluruh bintang-gemintang.”

Di antara wasiat Luqman al-Hakim terhadap anaknya ialah;

Wahai anakku! Pergauilah para alim-ulama dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, sebab Allah s.w.t. menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmat, sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit.

Keutamaan belajar

Adapun ayat-ayat al-Quran yang berhubung dengan keutamaan belajar itu, di antaranya ialah:

“Mengapa tidak ada sekelompok pun dari setiap golongan mereka itu yang berangkat untuk menambah ilmu pengetahuan agama.” (at-Taubah: 122)

“Maka tanyakanlah para ahli ilmu pengetahuan, kiranya kamu tiada mengerti.” (an-Nahal: 43)

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah s.w.t. akan melorongkan baginya jalan ke syurga.”

“Andaikata anda berangkat untuk mempelajari suatu bab dari ilmu pemgetahuan, adalah lebih utama dari anda bersembahyang seratus rakaat.”

“Menuntut ilmu adalah wajib di atas setiap orang Muslim.”

Abu Darda’ berkata:

“Kiranya saya dapat mempelajari suatu masalah, itu adalah lebih saya cinta daripada saya bangun beribadat sepanjang malam.”

“Orang alim dan orang yang menuntut ilmu itu, adalah dua orang yang berkongsi dalam kebaikan. Sementara orang-orang selain keduanya adalah sesia belaka. Tiada bangun sama sekali.

Iman Syafi’i.r.a. berkata pula:

Menuntut ilmu itu lebih utama dari sembahyang sunnat.”

Berkata Fatah al-Maushili rahimahullah:

“Bukankah si pesakit itu bila tidak diberikan makan atau minum ubat, ia akan mati!”

Orang ramai menjawab:

“Benar katamu!”

Dia berkata pula:

Demikian pulalah sifatnya hati, kiranya ia tidak diberikan hikmat dan ilmu pengetahuan selama tiga hari saja, akan matilah ia.”

Sungguh tepat sekali ucapan Fatah al-Maushili itu, kerana makanan hati ialah ilmu pengetahuan dan hikmat, dan dengan kedua benda itulah ia boleh hidup, sebagaimana tubuh badan itu hidup dengan makanan, Seorang yang tiada mempunyai ilmu pengetahuan, hatinya menjadi sakit dan kematiannya sudah pasti. Akan tetapi ia tidak akan merasakan yang demikian itu, kerana kecintaannya kepada dunia dan kesibukannya tentang dunia itu akan melenyapkan perasaannya. Kita berlindung dengan Allah pada hari di mana segala tabir akan tersingkap. Sesungguhnya manusia itu sedang nyenyak dalam tidurnya, nanti ia bila mati akan tersedar.

Berkata Ibnu Mas’ud r.a.:

Hendaklah kamu mencari ilmu pengetahuan sebelum ianya terangkat, dan terangkatnya ilmu pengetahuan itu dengan kematian ahli-ahlinya. Seseorang kamu tiada dilahirkan sebagai orang yang sudah pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu akan dicapai hanya dengan belajar.

Keutamaan mengajar

Ayat-ayat al-Quran mengenai keutamaan mengajar ini, ialah di antaranya firman Allah Ta’ala:

Hendaklah mereka memberikan peringatan kepada kaumnya, apabila telah kembali kepada mereka nanti, moga-moga mereka berhati-hati.” (at-Taubah: 122)

Maksudnya ialah memperingatkan mereka itu dengan pelajaran dan petunjuk yang diperolehinya.

“Dan di waktu Tuhan mengambil janji orang-orang yang diberikan olehnya kitab; iaitu hendaklah kamu sekalian menerangkan perkara-perkara yang tersebut di dalam kitab itu, dan jangan sampai kamu menyembunyikannya.” (ali-Imran: 187)

Maksudnya ialah mewajibkan orang yang berilmu itu menyebarkan ilmunya dengan mengajar.

“Ada sebahagian dari mereka itu yang menyembunyikan kebenaran, sedangkan mereka itu mengetahui (hukumnya).” (al-Baqarah: 146)

Maksudnya menghukumkan salah atau haram orang yang menyembunyikan ilmu pengetahuanya, sebagaimana dihukumkan haram pula orang yang menyembunyikan penyaksiannya.

Firman Allah Ta’ala:

“Barangsiapa menyembunyikannya (penyaksian), maka berdosalah hatinya.” (al-Baqarah: 283)

“Siapakah orang yang lebih baik ucapannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan.” (Fushshilat: 32)

Allah berfirman lagi:

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik.” (an-Nahal: 125)

“Dan dia mengajarkan kepada mereka (kandungan) kitab dan kebijaksanaan.” (al-Baqarah: 151)

Adapun Hadis-hadis yang menunjukkan tentang keutamaan mengajar, umpamanya pesanan baginda Rasulullah s.a.w. ketika mengirim Mu’az ke Yaman, bunyinya:

“Andaikata Allah s.w.t memberikan hidayat kepada seorang dari hasil usahamu, adalah lebih baik bagimu dari dunia dan seisinya.”

Sabda Rasulullah s.a.w.

“Sesiapa yang mengetahui sesuatu ilmu lalu disembunyikannya, niscaya di Hari Kiamat nanti, ia akan dikekang oleh Allah s.w.t. dengan tali kekang dari api neraka.”

“Sesungguhnya Allah s.w.t. dan para MalaikatNya, begitu juga penghuni langit dan buminya, sehingga semut yang berada di lubangnya dan ikan yang di lautan, semuanya memohon rahmat bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai.”

“Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan dalam tiga perkara: iaitu sedekah jariah (yang berterusan), ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang saleh yang mendoakan baginya.”

“Orang yang menunjuk ke jalan kebaikan sama saperti mengerjakan baginya.”

Ada satu sabda lagi berbunyi: ” Moga-moga Allah mencucurkan rahmatNya ke atas Khalifah-khalifahku.” Baginda lalu ditanya: ” Siapakah mereka khalifah-khalifahmu?” Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: ” mereka itu adalah orang-orang yang menghidupkan sunnatku serta mengajarkannya kepada hamba-hamba Allah.”

Dari atsar pula, apa yang diriwayatkan dari Mua’z, katanya: ” Pelajarilah ilmu pengetahuan, sebab mempelajarinya kerana Allah adalah tanda takut kepadaNya, menuntutnya adalah ibadat, menelaahnya adalah tasbih, mencarinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui adalah sedekah, memberikannya kepada ahlinya adalah kebaktian. Dialah kawan dalam masa kesepian dan teman dalam masa kesunyian. Dialah petunjuk jalan kepada agama, dan pendorong kesabaran dalam masa kepayahan dan kesempatan.”

Allah mengangkat setengah-setengah kamu karena ilmu pengetahuannya, maka dijadikannya pemimpin, penghulu dan penunjuk jalan kebaikan yang diikut oleh orang ramai. Orang yang berilmu pengetahuan itu juga menjadi model utama dalam amalan kebajikan, dicontohi segala jejak-langkahnya, dan dituruti segala kelakuannya.

Dengan ilmu pengetahuan seorang hamba itu akan sampai ke peringkat orang-orang yang terpuji ketaatannya dan tertinggi kedudukannya. Memikirkan perihal ilmu pengetahuan setanding pahalanya dengan berpuasa, dan menelaahnya setanding pahalanya dengan bangun beribadat di tengah malam. Dengan ilmu pengetahuanlah manusia mentaati Allah Azzawajalla, memperhambakan diri kepadaNya, MengEsakanNya dan membesarkanNya.. Dengan ilmu pengetahuan juga manusia boleh mencapai darjat kewajiban kewara’an, dan dengannya pula manusia menyambung silatur-rahmi. Dengan ilmu pengetahuan juga, ia akan mengenal yang halal dan yang haram. Ilmu pengetahuan itu adalah diumpamakan sebagai pembimbing, manakala amalan pula menjadi pengikutnya, dan berbahagialah orang yang menerima ilham dari ilmu pengetahuan, dan celakalah orang yang terhalang dari ilmu pengetahuan.

Berkata al-Hassan r.a.:

Kalaulah tidak kerana para ulama, niscayalah manusia sekaliannya sama seperti binatang.”

Maksudnya dengan adanya para ulama yang mengajar manusia terkeluarlah mereka dari peringkat-peringkat kebinatangan dan memasuki peringkat kemanusiaan.

Ilmu yang fardhu ‘ain

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Menuntut ilmu itu adalah wajib atas setiap Muslim.”

Termasuk ilmu yang dikatakan fardhu ‘ain itu, ialah ilmu pengetahuan yang bakal mengenalkan asas tauhid (MengEsakan Allah) yang dengannya pula dapat diketahui Zat Allah Ta’ala dan sifat-sifatNya.

Termasuk fardhu ‘ain juga ilmu pengetahuan yang dengannya dapat dituntut cara-cara beribadat,dibedakan antara yang halal dan yang haram, dan mana satu yang dilarang oleh agama, dan mana yang pula yang dibolehkan dalam urusan agama, dan mana pula yang dibolehkan dalam urusan hidup sehari-hari.

Termasuk juga ilmu yang fardhu ‘ ain ialah ilmu yang mengenalkan hal-ehwal hati, mengenai sifat-sifatnya yang terpuji, seperti bersabar, bersyukur, bermurah hati, berakhlak tinggi, bergaul baik, berkata benar dan iklas. Begitu juga dengan sifat-sifatnya yang terkeji, seperti balas-dendam, dengki, menipu, meninggi diri, riya’, marah berseteru, membenci dan kikir. Maka mengetahui apa-apa yang harus dilakukan dari sifat-sifat yang pertama dan apa-apa yang harus ditinggalkan dari sifat-sifat yang kedua itu adalah fardhu ‘ain. Seperti mana hukumnya membersihkan hal-hal mengenai kepercayaan, ibadat atau mu’amalat.

Read More......

Thursday, November 12, 2009

Palestin: Tanggungjawab Persaudaraan Dan Kemanusiaan

Pembunuhan ganas yang dilakukan oleh Yahudi Israel di Gaza, Palestin amat memilukan. Ia bukan sahaja mencabar perasaan persaudaraan Islam atau ukhuwwah islamiyyah kita, bahkan ia mencemar dan mengotori nilai kemanusiaan sejagat.

Ketika artikel ini ditulis sudah hampir 400 rakyat Gaza yang dibunuh kejam. Di mana Amerika yang kononnya berjuang memerangi pengganas? Pelindung Israel tersebut pantang ada kegiatan yang dianggap ganas yang dilakukan mereka yang mendakwa muslim terus sahaja dia akan besar-besarkan dan tindakan memeranginya secara membabi buta akan dilancarkannya.

Namun setiap kali Israel melakukan keganasan, dialah yang akan mempertahankannya. Tidak jika Amerika itu digelar syaitan. Bahkan ketika Gaza diserang ganas oleh Israel ketika ini, Bush mengistiharkan HAMAS itulah pengganas. Malanglah umat Islam jika masih ingin mengharapkan dari Amerika.

Demokrasi yang kononnya hendak dijuarai oleh Amerika di dunia Arab hanyalah permainan politik semata. Umpamanya Mesir, sekalipun tampuk kuasa yang ada pada hari ini meminggirkan demokrasi dan mengkhianatinya, namun tampuk tersebut terus dipertahankan oleh Amerika disebabkan berbagai kepentingannya.

Antaranya, Mesirlah pada hari ini yang menghalang kemasukan bantuan melalui sempadannya dengan Palestin. Sukar bagi syaitan berwatak malaikat. Saya tidak pasti dengan lobi Yahudi yang kuat dalam politik Amerika, apakah Obama akan mampu berbuat sesuatu?

Beberapa hari saya menyertai demontrasi membantah kekejaman Israel di hadapan Kedutaan Israel di London. Bersama saya Saudara Maszlee Malik yang sedang menyiapkan Ph.D di sini. Beliau banyak menulis dan membabitkan diri dalam isu-isu Palestin. Juga Saudara Wan Saiful Wan Jan, orang melayu yang aktif dalam politik British dan menjadi calon Parti Liberal Konservatif di UK ini.

Ramai yang menyertainya. Bukan sahaja orang Islam dan Arab, turut sertai juga mereka yang bukan muslim yang terdiri daripada ‘orang putih dan tidak putih’ UK ini. Dato’ Seri Shahidan Kassim yang sekali lagi datang ke London juga turut hadir.

Selama seminggu demonstasi berjalan di London. Bukan sahaja di hadapan Kedutaan Israel, orang ramai turut berdemontrasi di hadapan Kedutaan Mesir kerana negara tersebut menutup sempadannya untuk bekalan makanan dan ubatan disalurkan kepada rakyat Palestin.

Hari Sabtu (hari artikel ini ditulis) demontrasi besar di seluruh London akan diadakan. Bantahan dibuat untuk menyelamatkan rakyat Palestin. Ia melepasi batasan kepuakan atau kepartian yang sempit. Jika sesiapa yang hendak membantah Israel pun masih nak kempen parti, ternyata otaknya sama dengan Israel.

Demonstrasi sebegini, mempunyai peranannya yang tersendiri. Saya juga mengharapkan umat Islam dan masyarakat dunia mengadakannya. Ya, bagi umat Islam sepatutnya tugasan kita lebih besar daripada sekadar tunjuk perasaan. Kita diwajibkan membantu saudara seislam kita yang ditindas atau dikejami dengan harta dan nyawa kita.

Firman Allah: (maksudnya)

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah”. (Surah al-Nisa, ayat 75-76).

Berdasarkan ini, kata al-Imam al-Jasas (wafat 370H):

“Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri (kaum muslimin) dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum muslimin” (Abu Bakr al-Jasas, Ahkam al-Quran, 4/312, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-`Arabi).

Namun atas kekangan keadaan yang ada. Ramai para pemimpin umat Islam yang tunduk kepada kehendak Amerika, lalu mereka menjadi pelindung secara langsung atau tidak langsung kepada Israel. Lihat sahaja Mesir yang sanggup menutup sempadannya sehingga bantuan makanan dan ubatan tidak dapat sampai kepada rakyat Palestin, sehingga rakyat Palestin tidak dapat melepaskan diri kekejaman Israel.

Kita umat Islam menjadi umat yang tidak terdaya. Bukan sahaja bertindak, bahkan bersuara pun ramai yang takut. Tidak ramai pemimpin seperti Tun Mahathir Mohamad yang lantang dan berani untuk mengkritik dan berusaha membantah Amerika dan Israel. Ramai yang lain bergantung rahmat kepada Amerika. Bahkan bukan sedikit yang sedang ‘mengidam kerusi kuasa’ bertawakal harap dari Amerika.

Maka, di saat ini, sekurang-kurangnya demontrasi, atau apa sahaja bantahan yang tidak bercanggahan dengan Islam hendaklah dilakukan oleh umat Islam yang tidak berkemampuan. Demikian juga bantuan kewangan. Di Malaysia, sepatutnya mereka yang memegang tampuk-tampuk pentadbiran agama, sama ada yang berada di atas kerusi politik, atau istana perlu menjadi kelompok yang paling lantang membantah dan menghulurkan bantuan.

Saya terharu ketika berjumpa dengan sekumpulan wanita British yang tidak beragama Islam, mengikat serban Palestin di tengkok mereka dan memberitahu kami mereka akan mengambil cuti seminggu untuk menyertai bantahan terhadap Israel. Mereka mengedarkan risalah tentang kekejaman Israel.

Malanglah, jika yang mereka yang seperti ini membantah Israel, tetapi golongan yang diberikan amanah menjaga agama tenggelam dalam keempukan takhta dan membisu seribu bahasa. Di mana pula Majlis Fatwa Kebangsaan ketika ini? Tidak adakah fatwa tentang apakah kewajiban umat Islam dalam isu Palestin? Setelah berletihan dengan isu yoga dan pengkid, tidakkah mahu difikirkan isu Palestin pula?

Jika tidak, malanglah bagi umat Islam yang terdedah kepada dunia berita dan maklumat, tiba-tiba tidak mengambil endah tentang apa yang berlaku di Palestin dan tanggungjawab muslim membela saudara-mara kita kaum muslimin. Sabda Nabi s.a.w:

“Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam” (Riwayat Muslim)

Islam bersikap adil. Islam tidak pernah menyatakan setiap mereka yang tidak menganut Islam itu adalah musuh Islam. Demonstrasi di seluruh dunia pada hari ini turut dilakukan oleh mereka yang bukan Islam. Islam hanya bermusuh dengan mereka yang melancarkan permusuhan dan kezaliman kepada umat Islam. Samada permusuhan itu atas kebencian kepada agama ini, atau atas sikap yang ingin menzalimi orang lain.

Kemudian, Islam tidak menerima dan membantah kezaliman di mana sahaja ia dilakukan. Samada ke atas muslim atau bukan muslim, samada kepada insan atau binatang dan alam. Kita membantah kekejaman ke atas saudara seakidah kita di Palestin atas nama Islam dan kemanusiaan. Orang lain membantah atas dasar kemanusiaan.

Jika mereka yang bukan Islam dizalimi, kita tetap akan membantah atas dasar Islam dan kemanusiaan. Ini kerana prinsip Islam merangkumi prinsip kemanusiaan sejagat. Namun jika ada yang langsung tidak membantah, maka dia tiada prinsip Islam dan prinsip kemanusiaan.

Sumber: Dr. Maza (Minda Tajdid)

Read More......

Wednesday, November 11, 2009

Lucukah ??? Ada Iktibarnya...[002] Episod Tidak Bercakap Banyak



Tersebut suatu kisah... seorang usahawan yang berjaya.. mempunyai sikap yang tidak suka bercakap banyak... suatu hari beliau telah ditemuramah oleh seorang wartawan...


Wartawan  :  "Bolehkan tuan jelaskan bagaimana tuan dapat mengecapi kejayaan seperti ini?"

Usahawan  :  "Two words."

Wartawan  :  Apakah two words itu?

Usahawan  :  Right decisions.

Wartawan  :  Tapi tentu tuan boleh jelaskan lagi bagaimana tuan sentiasa membuat keputusan                             yang tepat.

Usahawan  :  One word....experience.

Wartawan  : Pengalaman tentu melibatkan perkara-perkara yang hebat sehingga membentuk                            tuan seperti ini. bagaimanakah tuan mendapat pengalaman sedemikian?    

Usahawan  :  Two words.

Wartawan  :  Apakah two words itu?

Usahawan  :  Wrong decisions!        


p/s : Dalam hidup ini, tak perlu sangat bercakap banyak, tapi yang perlu ialah banyak bertindak. Pengalaman dalam pelbagai perancangan dan tindakan akan membantu menambahkan lagi prestasi kemahiran dan pelaksnaan kerja seterusnya.

Read More......

Monday, November 9, 2009

Lucukah ??? Ada Iktibarnya...[001] Apa Yg Lucu?

BEBERAPA KISAH LUCU BERIKTIBAR YANG PERLU KITA FIKIRKAN
-*****************************************************-
Ambillah sebagai pengajaran.........terkadang kita lupa diri kita
sebenarnya...apa yang kita nampak ialah keburukan orang lain

Assalammualaikum

Lucu ya, duit RM50 kelihatan begitu besar bila

dibawa ke kotak derma masjid, tapi begitu kecil bila kita bawa ke

supermarket.

Lucu ya, 45 minit terasa terlalu lama untuk berzikir tapi betapa pendeknya
waktu itu untuk satu cerita komedi.

Lucu ya, betapa lamanya 2 jam berada di Masjid,
tapi betapa cepatnya 2 jam berlalu saat menonton
wayang di panggung.

Lucu ya, susah sungguh merangkai kata untuk
dipanjatkan saat berdoa atau solat, tapi betapa
mudahnya cari bahan bersembang dengan kawan-kawan

Lucu ya, betapa seruan dan teriakan yang
perpanjangan waktu pertandingan pasukan bola jadi
kegemaran kita, tapi betapa bosannya bila imam
solat Tarawih bulan Ramadhan bacaannya lama dan
panjang.

Lucu ya, susah sangat baca Al-Quran 1 juz saja,
tapi majalah hiburan dan novel best-seller 100
halaman pun habis dilahap.

Lucu ya, orang-orang berebut paling depan untuk
menonton bola atau konsert, dan berebut cari saf
paling belakang bila sembahyang Jumaat supaya boleh
cepat keluar.

Lucu ya, kita perlu undangan seawal 3-4 minggu
sebelumnya untuk majlis ilmuan supaya boleh dimasukkan
di agenda kita, tapi untuk acara lain seperti menonton wayang, annual dinner
atau high tea jadual kita boleh diubah sekelip mata.

Lucu ya, susahnya orang nak ajak menyebarkan dakwah,
tapi mudahnya orang menyertai dan menyebar gossip.

Lucu ya, kita begitu percaya pada yang dikatakan di
e-mail layang di internet, tapi kita sering mempertikaikan apa yang
dikatakan Al-Quran.

Lucu ya, semua orang inginkan masuk syurga tanpa harus
beriman,berpikir,berbicara ataupun melakukan apa-apa.

Lucu ya, kita boleh mengirimkan ribuan jokes dan
surat berantai lewat email, tapi bila mengirim yang
berkaitan dengan ibadah sering mesti berpikir dua-kali.

LUCU TAK?

Tepuk dada...tanyalah hati & iman

"Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang
mu'min bahwa sesungguhnya bagi mereka kurnia yang
besar dari Allah." (QS 33:47)

wassalam

Read More......